Wednesday, March 30, 2011

Laknat Kau Dunia!


 Hebatnya dunia (moden)!

Bahagian I

Aku sedar, aku ditakdirkan lahir sebagai manusia di tengah makhluk-makhluk lain seperti binatang, tumbuhan, gunung-ganang, planet, dan segala yang menghuni alam syahadah. Manusia makhluk paling agung, kerana rohnya.
Guruku menjelaskan, alam syahadah itu maknanya alam zahir, yang bisa dicapai oleh penglihatan biasa. Di antara makhluk penghuni alam syahadah itulah ditakdirkan wujud aku.

Ada satu lagi alam yang luasnya tak tertafsir dan abadi tetapi sering dilupa akan kewujudannya. Iaitu alam yang di balik penglihatan biasa. Menurut alim ulama yang ku rujuki, di sana ada makhluk-makhluk tertentu. Aku difahamkan makhluk-makhluknya terdiri daripada roh, jin, malaikat, iblis, dan lain-lain yang tak ternampak oleh mata. Alam malakut, alam jabarut, begitulah antara lain nama-nama alam yang tak bisa dicapai penglihatan zahir manusia.

Dalam satu kuliah kendalian seorang ahli sufi di Petaling Jaya, aku pernah mempelajari tentang hal ehwal roh. Beliau yang sentiasa berjubah seingat aku pernah berkata begini : 

“dunia ini merupakan sarung kehitaman. Jasad manusia adalah sebagian daripada keduniaan manakala roh bersifat suci putih. Saat roh suci manusia disarungkan dengan jasad, saat itulah saat bermulanya kisah tragedi malang bagi roh kerana itulah permulaan saat roh yang suci murni dihijab oleh jasad, dihijab oleh dunia yang hitam, kotor, lagi menjijikkan..”

Roh bukan pemastautin alam dunia (alam syahadah). Kerana ia tak bisa disaksikan oleh mata kepala kita. Habis, di mana tempat asal roh? Entah. Tetapi guru pernah menyebut juga,
“tanda tamatnya kehidupan di dunia adalah ketika roh ditarik keluar oleh malaikat bernama Izrail..” 

Inilah bukti roh tidak mati seperti matinya jasad. Hayat roh tak tamat seperti tamatnya hayat jasad setakat alam dunia. Sekonyong-konyong terngiang  kalam guru yang lain:

“Abdullah, cuba kamu perhatikan. Dalam Quran ada satu ayat yang menyebut perihal Hari Perhimpunan Roh. Di majlis itu, mereka berikrar bahawa Allah satu-satunya Tuhan. Majlis tersebut berlaku di alam ghaib, sebelum roh-roh itu keluar ke alam dunia. Iaitu sebelum disarungkan dengan jasad.. ”

Dari kata-kata guru itu tahulah aku. Memang hayat roh lebih panjang, sangat panjang tak terjangka sejak bila dan hingga bila. Dan ketika roh berada di dunia, adalah ketika yang paling mendukacitakan, atau pun fasa yang paling malang sepanjang hayat hidup roh yang panjang.


Bahagian II

Aku sedar, aku dilahirkan pada kurun ke-20. Kala bukaan mataku yang julung-julung, pemandangan yang terlihat adalah objek-objek moden, benda-benda canggih, berlatar hospital. Hospital Parit Buntar. ‘Hospital’ sendiri, satu kalimah yang aku rasa istilah moden bukan istilah tradisional, jadi hospital itu pun modeniti.

Aku, sebagai roh yang suci, aku benci kan dunia!

Aku benci jasad fanaku! Kerana jasad sebagian daripada dunia.

Aku benci hospital! Kerana hospital tanda kehebatan dunia.

Aku benci kemodenan, kecanggihan! Kerana itu semua sering menipu aku! 

Roh suci yang terpenjara dalam sarung jasad meronta mahukan pelepasan, mahukan pertemuan dengan Tuhan.


Lebih dua dekad aku hidup di dunia jahat dan busuk ini, aku seakan lupa pengembaraan panjangku. Aku lalai terhadap perjanjian dahuluku dengan Tuhan pencipta. Ah.. 

Allah, tuntuni aku! 

Dunia semakin canggih dan moden apabila merangkak masuk abadnya yang ke-21. Semakin moden bermakna semakin bertambah kehebatan dunia. 

Pelbagai gajet pelik lahir. Namanya juga pelik. Sekarang bukan lagi seterika, televisyen, radio. Sekarang ini laptop, pendrive, hard disk, mp3 player. Ada gajet yang lebih pelik yang baru diberi nama. Broadband. 

Aku tak kisah sangat dengan kepelikan yang terjadi itu, walau kadang-kadang mengganggu juga hidup aku. Aku lebih kisahkan tentang dunia yang lagaknya semakin meliurkan. Ini sangat-sangat mengganggu hidup aku, roh yang suci. 

Aku jadi makin ghairah. Aku makin lalai. Aku terlalu selesa dengan dunia sehingga terlupa tujuan hidupku! Aku sampai terlupa siapa aku! Begitulah pengaruh dunia.

Duhai, Aku risaukan sahabat-sahabat ku. Seorang demi seorang ku lihat hanyut dengan keunggulan dunia. Bukankah mereka semua roh-roh seangkatanku yang sama-sama berikrar waktu itu sebagai hamba Tuhan?

Dunia semakin moden. Maknanya dunia semakin elok di mata manusia, semakin memenuhi pemikiran manusia. Roh pula kian sakit, bahkan nazak, dan kesuciaannya kian lenyap. Kewujudannya di alam dunia semakin tidak disedari..

Sampai bila begini? Solusi?

Friday, March 18, 2011

Jalan-jalan Cari Ulamak, Jom!


                             di rumah Tuan Guru hj Hadi, bersama istri beliau.                                                  

 Permakaman Tok Kenali

 baru tiba di Pondok Pasir Tumboh

Minggu lepas aku ikuti satu program atas nama Kembara Ilmu Mendekati Ulamak di Kelantan Terengganu yang lebih cool disebut "Jalan-jalan Cari Ulamak". Dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pondok Tauhid yang berpusat di Pondok Tuan Guru haji Salleh, Sik Kedah. Terima kasih akhi Helmi selaku ketua rombongan. Terima kasih juga komrad-komrad Darul Quran kerana melayan ajakan aku. Anas (sanggup datang dari Gombak), Asyraf, Sumaiyah, dan apitnya Hikmah.

Biar aku riwayatkan apa yang termenarik menurut aku ;

Yang paling manarik mestilah bersolat berimamkan Tuan Guru Nik Aziz di masjid beliau. Zauqnya berbeda sekali. Kami juga melawat rumah Tuan Guru Haji Hadi Awang di Rusila berdekatan sangat dengan pantai. Tapi tuan guru tiada di rumah, beliau di seberang laut (di luar negara lah!). 

Kemudian ke Pondok Pasir Tumboh, sempat menatap wajah Tuan Guru Haji Hasyim yang mulia. Beliau sangat uzur, dah tak berupaya bangun, berpanjangan terlantar di pembaringan. Kemudian ke makam Tok Kenali seorang ulama yang sangat dikenali seperti namanya jua. Di Pasar Payang aku panjat bukit (situ kawasan perbukitan) untuk ke Kubu Puteri. Di sana terdapat makam seorang ulama dari Hadralmaut Yaman bernama Syaikh Yasin. 

  Tuan Guru Haji Hasyim di rumah beliau dalam Pondok Pasir Tumboh


Satu tempat yang cukup menarik juga adalah Kedai Buku Jafar Rawas di Pekan Kota Bharu. Orang Kelantan mesti tahu toko buku popular ini. Toko ini istimewa kerana menghimpun kitab-kitab turath (lama) pelbagai tajuk selain ada juga buku-buku moden. 

Khazanah berharga ini sangat-sangatlah berharga, betul-betul ilmiah, ilmiah tahap  'piyao' punya. Akan tetapi malangnya ramai remaja moden hari ini bengong menilai betapa berharganya buku-buku lama ini! Sebagaimana mereka tak tahu betapa ulungnya ulama-ulama tradisional, tok-tok guru pondok, yang pada hari ini dibilang jumud, kolot, tak tahu internet, tak punyai blog, tak punyai facebook, dan pelbagai lagi pandangan yang tak payah aku sebut lagi. Sebab, nak buat apa menyebut panjang telahan-telahan yang dangkal.

 
Maka aku ingin mencerahkan bahwa, aliran pengajian ilmu secara tradisional adalah yang paling ilmiah, mendalam, filosofis, bermakna, rasional, oleh itu lah para santri yang serius mengikuti pengajian stail lama ini yang memimpin kebangkitan tamadun Melayu-Islam di rantau ini ketka masa itu. Tak percaya tanya Prof. Naquib Al-Attas. Tak yakin tanyalah google. Zaman moden kan?

*gambar-gambar dari blog akhi Helmi 

 
"Ulama Pewaris Rasul Pilihan" 
"PAKSU Pendokong Ulama Pewaris"

Tuesday, March 15, 2011

Al-Basmalah : Pondok Berkat

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku 'potong reben', melancarkan blog ni dengan satu sajak;



Bangunan di tengah-tengah kota
Tinggi mencapai awanan sana
insan materi asyik bekerja
Sehari bersama mesin dan wayar

Tenang pondok kayu ujung desa
Seorang muallim hidup tua 
Melatih lidah murid alif ba
Hingga fasih mengungkap asal ba   

Berjaga-jaga penduduk kota
Ingat-ingat mutaalim kota
Amerika musuh tiap yang lama
Falsafah moden merasuk minda

Beruntung sungguh hai manusia
Penghuni pondok di hujung desa
Hari-hari malaikat bersama
Makhluk pembawa berkat mulia

- 23:40, 14/3/2011 - Pokok Tai -